Tuesday, July 6, 2010

Berpantang maut sebelum ajal



GEORGE TOWN - Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang dapat disimpulkan mengenai nasib seorang anggota polis apabila dia dapat diselamatkan selepas terapung di laut selama empat jam dengan hanya berpaut pada gabus selebar 0.5 meter dalam kejadian di sini kelmarin.

Muhammad Mubarak Abdul Hamid, 20, dapat diselamatkan apabila jeritannya meminta tolong didengari oleh dua anggota polis yang sedang membuat rondaan di situ sebelum memaklumkannya kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kejadian pukul 12 malam itu berlaku apabila Muhammad Mubarak dikatakan tergelincir lalu jatuh ke laut ketika dia hendak memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang bersendirian.

Difahamkan, Muhammad Mubarak baru sahaja menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jempol, Negeri Sembilan minggu lalu.

Mangsa dipercayai menaiki motosikal untuk ke pelantar konkrit bawah jambatan yang terletak kira-kira 40 meter dari Lebuh raya Jelutong yang menjadi lokasi kegemaran kaki pancing.

Muhammad Mubarak memberitahu, selepas terjatuh ke dalam laut, dia cuba berenang semula ke pelantar itu tetapi dihalang ombak kuat sebelum dia dihanyutkan ke kawasan pantai berhampiran Pangsapuri Ocean View di Jelutong.

Katanya, ketika hampir keletihan dan berputus asa, dia kemudian sedikit ceria apabila menemui sekeping gabus untuk dia berpaut.

"Selain berdoa agar ditemui oleh kaki pancing atau nelayan di situ, saya juga menjerit meminta tolong. Saya tidak ingat berapa lama saya terapung kerana asyik memikirkan mengenai nyawa saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Iklaneka

Gambar KPIPM