Saturday, July 31, 2010

Ibu dihukum rejam mohon peluk anak


LONDON: Seorang ibu Iran yang dihukum rejam hingga mati kerana kesalahan berzina di Iran merayu supaya dibenarkan untuk memeluk anaknya, dalam surat yang dikeluarkan bagi pihaknya oleh kumpulan aktivis hak asasi manusia semalam.

Sakineh Mohammadi-Ashtiani, 43, ibu kepada dua anak dijatuhi hukuman terbabit selepas didapati bersalah.

Hukuman terbabit mencetuskan kritikan negara Barat dan ditangguhkan buat sementara awal bulan ini oleh ketua kehakiman Iran, Sadeq Larijani.

“Saya Sakineh Mohammadi-Ashtiani, dari Penjara Tabriz mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengingati saya,” kata surat beliau yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi kepada bahasa Inggeris dan dikeluarkan Jawatankuasa Antarabangsa Menentang Hukuman Rejam.

Mesej itu disampaikan melalui perbualan telefon, kata jurucakap jawatankuasa itu, tanpa menjelaskan lebih lanjut.

“Saya berdiam diri dan sedih kerana sebahagian hati saya sudah kaku,” katanya. “Sebelum tidur setiap malam saya memikirkan bagaimana seseorang boleh bersedia untuk melemparkan batu ke arah saya, menyasarkan pada muka dan tangan? Kenapa?

“Tolong saya untuk terus hidup, memeluk anak saya.” Sakineh didapati bersalah pada 15 Mei 2006 kerana mempunyai hubungan haram dengan dua lelaki, kata peguam beliau dan Amnesty International di London. Amnesty berkata, dia diberikan 99 sebatan bagi setiap hukuman tetapi kemudian dituduh melakukan hubungan luar nikah ketika masih berkahwin pada September 2006.

No comments:

Post a Comment

Iklaneka

Gambar KPIPM