Saturday, July 3, 2010

Nasib seorang ayah

Sedih rasa hati ni bila tengok sekarang ni…manusia dah jadi ‘kacang’ pasal dah lupakan ‘kulit’. Jasa seorang ayah yang telah bertahun-tahun membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dilupakan begitu sahaja. Allah….sedihnya bila difikirkan balik. Seorang ayah tidak layak langsung untuk diletakkan ditempatkan di mana-mana pusat jagaan pun,apatah lagi tempat bukan Islam so moga-moga Allah pelihara kita bersama daripada tersilap memilih keputusan dalam menjaga hak ibu bapa kita. Sayangilah mereka selagi mereka masih berada disisi kita

Nasib Jaafar dapat perhatian

GEORGETOWN: Hasrat warga emas, Jaafar Ali, 85, untuk beribadat di tempat lebih selesa akhirnya tercapai apabila ‘diselamatkan’ daripada terus mendiami sebuah rumah jagaan orang tua swasta yang dikendalikan bukan Islam di Mount Erskine di sini.

Semalam, beberapa kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Timur Laut mengunjungi pusat jagaan berkenaan untuk membawanya keluar dan menghantar ke Pusat Jagaan Darul Hannan di Kepala Batas, dekat sini.

Keputusan itu hasil perbincangan bersama beberapa ahli keluarga Jaafar dan JKM selepas kisahnya disiarkan di Berita Harian, semalam.

Pengarah JKM Timur Laut, Khairul Amir Ahmad, berkata pihaknya memanggil keluarga warga tua terbabit di pejabatnya untuk berbincang mengenai pemilihan pusat jagaan untuk bapa mereka itu.

“Perbincangan itu sama ada keluarganya ingin menjaganya, menghantarnya ke Pusat Jagaan Darul Hannan di Pongsu Seribu, Kepala Batas atau menempatkan ke Rumah Seri Kenangan di Ulu Kinta, Perak.

“Akhirnya mereka bersetuju menempatkan Jaafar ke Pusat Jagaan Darul Hannan dengan kos penginapan di pusat jagaan itu ditanggung mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Semalam, Berita Harian melaporkan mengenai penderitaan Jaafar yang mendakwa dirinya ‘dibuang’ ahli keluarganya dengan menempatkannya di sebuah rumah jagaan orang tua swasta dikendalikan bukan Islam.
Jaafar yang mendiami pusat jagaan itu sejak setahun lalu menyatakan hasratnya keluar daripada situ untuk tinggal di kawasan lebih selesa bagi membolehkannya beribadat dengan tenang sebelum ‘menutup mata’ selama-lamanya.

Sementara itu, Pejabat Berita Harian Biro Pulau Pinang menerima panggilan daripada pelbagai pihak, antaranya Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera yang simpati dengan nasib Jaafar untuk membantunya.

Malah, seorang pemanggil enggan dikenali dari Shah Alam, Selangor menyatakan kesanggupannya untuk mengambil Jaafar sebagai bapa angkat kerana beliau tidak lagi mempunyai bapa.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata beliau sudah mengarahkan Pengarah JKM Pulang Pinang supaya memberi perlindungan kepada Jaafar yang sudah setahun menginap di rumah jagaan bukan Islam yang menyebabkan beliau sukar beribadat dengan tenang dan selesa.

No comments:

Post a Comment

Iklaneka

Gambar KPIPM