Sunday, July 25, 2010

Mana kaum lelaki ni...



DOMINASI mahasiswa perempuan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukan isu baru, malah sering diperkatakan masyarakat.Lalu, timbul persoalan, di mana dan apa jadi dengan pelajar lelaki? Berdasarkan kemasukan mahasiswa baru untuk mengikuti ijazah sarjana muda ke 20 IPTA tempatan, baru-baru ini, wanita masih mengatasi lelaki sehingga menimbulkan pandangan negatif bahawa golongan lelaki akan tenggelam dalam monopoli pelajar perempuan.

Meskipun memperoleh peluang sama rata berdasarkan sistem merit, kekurangan ketara itu memerlukan mekanisme tertentu bagi menanganinya.


Adakah masalah ini boleh ditangani atau masyarakat menerima sahaja ia sebagai fenomena global di IPT? Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr Mohamed Asin Dollah, berkata isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks luas sebelum dikategorikan sebagai kritikal.


Menurutnya, tumpuan masyarakat terhadap kebanjiran mahasiswa wanita setiap kali pelajar baru mendaftar di IPTA menjadikannya terus berlarutan serta bagaikan tiada kesudahan.


"Penafsiran umum menyebabkan masyarakat terus melabelkan IPTA dikuasai wanita manakala golongan lelaki terpinggir.


"Penilaian itu mungkin bersandarkan pemerhatian kasar dan kurang tepat. "Adakah jumlah pelajarnya diambil kira? Sukar mengatakan mahasiswa wanita mendominasi kerana ruang penafsiran terbatas berdasarkan satu senario semata-mata," katanya.


Tahun ini, golongan wanita terus mendominasi kemasukan ke IPTA apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011.


Ramai mengaitkannya dengan sistem merit namun Dr Mohamed Asin menegaskan ia bukan punca utama kerana pengambilan pelajar bergantung pada kelayakan.


"Sama ada merit atau kuota, aspek kecemerlangan faktor utama selain menepati syarat kemasukan asas. IPTA tidak akan menawarkan tempat jika gagal memenuhinya.


"Menyalahkan sistem berkenaan kurang tepat sebaliknya mesti ada faktor tertentu menyebabkan senario itu berlaku," katanya.

Kecenderungan minat lelaki menyambung pengajian program berbentuk teknikal di kolej bukan IPTA turut menyumbang apatah lagi faktor jangka masa pendek serta peluang pekerjaan cerah memberi jaminan.


Tarikan dunia kerjaya kerana memikul tanggungjawab keluarga dan menstabilkan ekonomi diri juga menjadi punca.


"Kebanyakan bidang teknikal di kolej seperti komuniti masih dikuasai lelaki kerana kerjaya lebih cerah meskipun hanya sijil. Mencari pengalaman lebih utama. "Ada pula kerana ekonomi dan tanggungjawab keluarga. Sebagai anak lelaki, kematangan mempertimbangkan masalah atau masa depan lebih ketara. "Selepas stabil, baru ambil keputusan sambung belajar melalui program tertentu seperti luar kampus selain tidak perlu gusar mengenai kerjaya," katanya. Beliau turut menolak gender sebagai penyumbang gejala sosial sebaliknya sesiapa saja boleh terjebak, malah akur masyarakat lebih mensasarkan golongan lelaki.


"Soal gender adalah universal dan bukan alasan kukuh. Situasi kini bukan seperti dulu, sesiapa berhak mencorakkan masa depan mengikut pilihan dan cita rasa sendiri," katanya mengakui masih banyak bidang pekerjaan memerlukan dominasi lelaki seperti keselamatan dan pelancongan.

Menurutnya, lelaki atau wanita, masing- masing berhak mendapat pendidikan cuma pemilihan dan masanya berbeza. "Penting memastikan proses pendidikan dan penjanaan ilmu tidak terhenti tanpa mengira memperolehnya sama ada melalui institusi atau pengalaman," katanya.

Saturday, July 24, 2010

KEKAL '10 PMRAM


Ha...PMHK PMRAM datang lagi tahun dengan wajah baru,acara baru,bentuk baru dan banyak benda baru yang telah dirancang untuk PMHK atau KEKAL '10 kali ini. Kalau tengok video promo memang gempak giler,huhuhu...so apa lagi tunggu sahabat-sahabat, panaskan badan anda,renggang-renggangkan otot-otot anda sebelum ogos ini bagi memastikan anda tidak tewas awal dalam semua acara yang akan berlangsung dalam KEKAL '10 nanti. Kalau nak semangat tengok video promo ni banyak kali. Jom kita sama-sama kita ramai-ramai datang dan memeriahkan KEKAL '10.

Thursday, July 15, 2010

habis la... : Harga baru Gula (RM1.90), RON 95 (RM1.85)


Pelarasan subsidi kurangkan perbelanjaan RM750 juta tahun ini PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan penyelarasan harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula berkuat kuasa hari ini sebagai langkah pertama Program Rasionalisasi Subsidi. Penyelarasan semula harga barang itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta tahun ini dan mengimbangi defisit kewangan negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat ACPerdana Menteri, harga RON 95 dan diesel diselaraskan sebanyak lima sen seliter bagi semua sektor, LPG (10 sen sekilogram), gula (25 sen sekilogram), manakala petrol premium RON 97 akan diapung secara terkawal.

Walaupun harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Harga bahan bakar dan gula di negara ini juga paling rendah di rantau ini walaupun adanya penyelarasan harga ini, katanya. Kenyataan itu menjelaskan keputusan menyelaraskan harga bahan api dan gula itu dibuat berasaskan tiga perkara penting iaitu:
  • Semua subsidi ini tidak menepati sasaran ia juga memberi faedah kepada pihak yang tidak layak iaitu warga asing dan rakyat berpendapatan tinggi yang mampu membayar petrol tanpa subsidi. Subsidi gula berlebihan pula memberi faedah kepada industri dan bukan keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula digunakan sektor perniagaan berbanding isi rumah.
  • Barangan bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi menjadikan barangan itu paling murah di rantau ini. Tahun lalu saja, ramai penyeludup ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan gula. Diesel pula terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran.
  • Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha melindungi alam sekitar, manakala pengurangan penggunaan gula dilihat sebagai langkah tepat bagi menangani isu kesihatan kerana 40 peratus rakyat Malaysia berlebihan berat badan dan jumlah penghidap diabetes pula meningkat.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, subsidi bagi bidang pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan kerana ia penting bagi negara di mana kerajaan seharusnya melabur, menyediakan bantuan untuk mengembangkan kemahiran dan membina tenaga kerja untuk masa depan

Tuesday, July 6, 2010

Berpantang maut sebelum ajal



GEORGE TOWN - Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang dapat disimpulkan mengenai nasib seorang anggota polis apabila dia dapat diselamatkan selepas terapung di laut selama empat jam dengan hanya berpaut pada gabus selebar 0.5 meter dalam kejadian di sini kelmarin.

Muhammad Mubarak Abdul Hamid, 20, dapat diselamatkan apabila jeritannya meminta tolong didengari oleh dua anggota polis yang sedang membuat rondaan di situ sebelum memaklumkannya kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Kejadian pukul 12 malam itu berlaku apabila Muhammad Mubarak dikatakan tergelincir lalu jatuh ke laut ketika dia hendak memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang bersendirian.

Difahamkan, Muhammad Mubarak baru sahaja menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jempol, Negeri Sembilan minggu lalu.

Mangsa dipercayai menaiki motosikal untuk ke pelantar konkrit bawah jambatan yang terletak kira-kira 40 meter dari Lebuh raya Jelutong yang menjadi lokasi kegemaran kaki pancing.

Muhammad Mubarak memberitahu, selepas terjatuh ke dalam laut, dia cuba berenang semula ke pelantar itu tetapi dihalang ombak kuat sebelum dia dihanyutkan ke kawasan pantai berhampiran Pangsapuri Ocean View di Jelutong.

Katanya, ketika hampir keletihan dan berputus asa, dia kemudian sedikit ceria apabila menemui sekeping gabus untuk dia berpaut.

"Selain berdoa agar ditemui oleh kaki pancing atau nelayan di situ, saya juga menjerit meminta tolong. Saya tidak ingat berapa lama saya terapung kerana asyik memikirkan mengenai nyawa saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.

Monday, July 5, 2010

Serah nama 2,000 graduan cemerlang



KUANTAN - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini supaya segera mengemukakan statistik pelajar yang mendapat kepujian kelas pertama bagi memudahkan pinjaman pendidikan mereka ditukarkan kepada biasiswa.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangannya bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), terdapat kira-kira 2,000 pelajar yang layak mendapat kemudahan tersebut dengan peruntukan sebanyak RM73 juta.

Katanya, sehingga 24 Jun lalu, PTPTN hanya mendapat statistik daripada 18 IPT awam dan swasta yang melibatkan 1,200 pelajar dengan peruntukan kira-kira RM26 juta.

Sunday, July 4, 2010

tonton ni...



Hadapi judi dengan kempen, bukan bertembung - GMJ




KUALA LUMPUR, 3 Julai:
Gerakan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengambil pendekatan kempen bukannya bertembung dengan mana-mana pihak dalam memastikan aktiviti perjudian di negara ini dihapuskan.

Antaranya, mereka akan berbincang dengan pihak media bagi membolehkan kempen memansuhkan aktiviti perjudian di negara ini berjalan lancar.

Antara yang disasarkan oleh GMJ adalah semua media tidak lagi menyiarkan sebarang iklan untuk judi di samping tidak menyiarkan keputusan sebarang aktiviti perjudian.

"Kami akan berbincang dengan media dalam hal ini sebelum mengambil apa-apa tindakan. Jika tidak berubah mungkin akan sampai kepada peringkat boikot," kata Pengerusi GMJ, Azmi Hamid.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena perhimpunan anti judi di perkarangan masjid negara petang tadi. Kira-kira 3,000 peserta dari 60 NGO dan parti politik menyertai perhinpunan ini.

Ia telah ditangguhkan ke jam 5 petang dari rancangan awalnya pada jam 1.30 tengahari bagi menghormati pengkebumian jenazah Allahyarhamah isteri bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail.

Antara yang hadir di majlis perhimpunan ini adalah Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan dan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar.

Sekarang ini, hampir saban hari akhbar harian menyiarkan aktiviti perjudian termasuk keputusan lumba kuda dan judi nombor ramalan iaitu ekor dan toto.

Ia sudah sampai ke peringkat dibuat gurauan, laporan yang benar dan tepat untuk sesetengah media Umno adalah keputusan toto dan empat nombor ekornya.

Dalam pada itu, GMJ telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar membuat keputusan dalam kabinet bukannya Majlis Tertinggi Umno tentang pembatalan pemberian memberikan lesen judi sukan kepada kumpulan Berjaya.

Ini kerana, isu pemberian lesen bukan urusan Umno tetapi urusan kerajaan dan kabinet adalah tempat membuat keputusan yang tepat.

"Kami telah menghantar surat namun sehingga kini belum mendapat apa-apa jawapan dari PM," kata Azmi.

Ekoran pembatalan pengeluaran lesen judi itu, GMJ juga sedang mengkaji semula memorandumnya kepada Yang Dipertuan Agung.

"Kami yakin ia masih relevan tetapi perlu kepada pengubahsuaian," kata Azmi kepada wartawan.

GMJ juga meminta semua negeri mencontohi Kelantan dalam mengendalikan isu perjudian iaitu dengan tidak mengeluarkan sebarang lesen judi.

"Kita faham, ia tidaklah boleh dijalankan serta merta tetapi kami akan berbincang agar semua negeri boleh membuat tindakan ke arah itu," katanya.

Iklaneka

Gambar KPIPM